Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,,
Apakah hukum cucu lelaki tidur sebilik dengan neneknya di atas katil yang sama?
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, tiada larangan bagi nenek tidur bersama cucu lelaki yang belum baligh. Manakala bagi cucu lelaki yang sudah baligh diwajibkan mengasingkan tempat tidur. Sabda Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah RA:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya: “Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.” (Riwayat Abu Daud)
Hal ini bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga daripada fitnah atau terbangkitnya nafsu syahwat walaupun sesama mahram. Didikan adab seperti ini sebaiknya dilakukan ketika usia anak masih kecil supaya mereka tidak mengalami kesan-kesan negatif dari sudut emosi apabila dilaksanakan tanpa latihan yang berperingkat.
والله أعلم بالصواب