Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ingin bertanya. Ramai orang yang merujuk kepada laman web soal jawab agama ini sebagai platform untuk bertanya dan mendapatkan jawapan berkaitan agama.
Namun demikian saya dapati ramai yang merujuk web soal jawab ini dan menjadikan jawapan-jawapan yang mereka terima sebagai fatwa dari Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Adakah memang benar kami boleh gunakan jawapan di bahagian soal jawab agama ini sebagai fatwa rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti?
Bagaimana yang sepatutnya kami gunakan jawapan-jawapan di sini? Adakah kami sepatutnya gunakan laman web soal jawab ini sebagai panduan dan rujukan soal jawab atau kami boleh jadikan jawapan di sini sebagai fatwa rasmi dari Jabatan Agama Negeri Selangor?
Mohon dapat jelaskan kemusykilan saya.
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ, وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ
Merujuk kepada persoalan, jawapan yang diberikan dalam soal jawab agama samada melalui surat jawapan atau mana-mana terbitan jabatan ini adalah merupakan rujukan dan panduan kepada orang awam khususnya umat Islam dalam isu-isu berkaitan akidah, syariah, akhlak dan persoalan-persoalan umum yang sering menjadi persoalan masyarakat Islam.
Semua jawapan kepada soal jawab agama yang dikeluarkan adalah pandangan hukum bagi menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Jawapan tersebut walaupun bukan fatwa tetapi ia merupakan suatu panduan hukum yang perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan harian sebagai seorang muslim. Ini kerana tidak semua isu atau persoalan kemusykilan agama perlu difatwakan.
Manakala fatwa adalah merupakan keputusan kepada persoalan berkaitan isu baharu yang tidak jelas status hukumnya. Sesuatu perkara itu tidak dianggap sebagai fatwa sehingga ia diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (EPAINS) 2003.
والله أعلم بالصواب