Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , saya ada kemusykilan tentang solat secara duduk . Saya telah mencari cara² solat duduk tetapi banyak pula cara solatnya .
Saya sedang mengandung 4bulan dan kaki sy mengalami masalah luka² menyebabkan sy sukar untuk solat seperti biasa . Ada sesetengah video cara solat , mereka terus duduk semasa takbirratul ihram .
Bagi pengetahuan pihak tuan , sy masih mampu berdiri cuma tidak boleh berdiri lama . Rakaat pertama , sy bangun untuk takbiratul ihram dan duduk selepas itu .
Soalan sy , rakaat kedua adakah sy perlu bangun semula untuk takbiratul ihram ? Atau takbirratul ihram secara duduk saja ? Dan rukuk pula sy terus rukuk secara duduk atau kena bangun berdiri untuk rukuk ?
Untuk rukuk pun kaki xmampu nak berdiri lama akan menyebabkan luka saya skit dan pedih . Mohon penjelasan pihak tuan
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وأصحابه ومن والاه . أما بعد؛
Solat merupakan ibadah yang mempunyai tuntutan rukun yang perlu dipenuhi. Di antara rukun solat adalah berdiri tegak ketika qiam bagi yang berkemampuan. Adapun jika terdapat keuzuran yang menghalang seseorang untuk berdiri, maka diharuskan solat dalam keadaan duduk. Imron bin al-Husoin RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ;
صلِّ قائمًا فإنْ لم تستطعْ فقاعدًا فإنْ لم تستطعْ فعلى جنبٍ
Maksudnya : "Solatlah dalam keadaan berdiri, jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan duduk, jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan mengiring di atas rusuk kanan". (Riwayat al-Bukhari)
Rukhsah hanya diberikan apabila seseorang tidak mampu untuk melaksanakan rukun solat secara sempurna. Adapun jika rukun tersebut mampu dilaksanakan secara sempurna walaupun seketika, maka wajib laksanakannya sekadar yang termampu.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, puan wajib takbiratul ihram dalam keadaan berdiri pada rakaat pertama kerana masih mampu berdiri. Apabila sudah tidak mampu untuk terus berdiri, barulah puan diharuskan duduk. Begitu juga keadaannya apabila bangun pada rakaat kedua, jika puan mampu untuk berdiri sepenuhnya maka puan wajib berbuat demikian. Jika tidak mampu barulah diharuskan duduk. Begitu juga halnya ketika rukuk, jika mampu rukuk dengan sempurna maka wajib berbuat demikian. Jika tidak mampu barulah diharuskan rukuk dalam keadaan duduk.
والله أعلم بالصواب