Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz, saya nak bertanyakan beberapa soalan, dulu kawan saya pernah beli bekas pensel baru. Saya pun pernah la belek2 bekas pensel tu. Tapi lepas beberapa hari ada beberapa orang kawan kelas tegur kawan saya tu cakap yang tu kulit babi sbb ada banyak bintik2 tiga. Saya ingatkan tu cuma corak bekas pensel tersebut. Sebab saya tak tau ianya diperbuat dari kuli babi, saya ingatkan tak perlu samak. Lagipun masa tu saya berusia lebih kurang 13 tahun dan tak berapa tahu sangat. Sekarang saya sudah berusia 18 tahun. Sudah 5 tahun berlalu dan saya tak pernah samak pun untuk kejadian tu. Soalan saya, perlukah saya samak walaupun sudah lama perkara tu berlalu? Kedua, adakah semua solat, puasa dan amalan yang saya lakukan selama ini terbatal? Sekian sahaja soalan saya buat masa ni.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, jika saudari hanya mengetahuinya pada hari ini, sebaiknya terus sertu bagi menghilangkan perasaan syak di hati. Memandangkan pada masa itu saudari tidak tahu, dan hanya menyedarinya pada masa ini, dalam keadaan pegang yang kering dengan kering dimaafkan. Manakala ibadah yang dilakukan selama ini tidaklah memudharatkan kerana ia diluar pengetahuan atau dalam keadaan saudari tidak tahu. Hukumnya dimaafkan jika saudari melakukan perbuatan tersebut disebabkan tidak tahu (الجهل) bahawa itu adalah kulit babi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.