Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya, apakah hukum jika kita berniaga di platform Facebook yang secara terang memberikan sumbangan kepada Yahudi ( Israel) yang menyerang Islam di Palestin ?
Ada diantara kita yang membuat iklan berbayar di fb tersebut adakah kita dikategori membantu dakwah mereka ? Dan apakah hukum bagi pendapatan yang kita dapat dari hasil iklan berbayar di Facebook tersebut ?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد...
Jika pengasas sesuatu syarikat seperti Facebook dan lain-lain ada menyatakan dengan jelas tujuan perniagaannya adalah untuk agenda kristianisasi atau menyebarkan aqidah yang bertentangan dengan Islam, maka lebih utama elakkan diri daripada terlibat dengannya kerana dianggap membantu dan menolong dalam perkara permusuhan dan dosa. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوٰنِ
maksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan"
والله أعلم بالصواب