Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan,
Saya mohon pandangan dari pejabat mufti selangor
Saya ada beberapa soalan.Syarikat ditempat saya bekerja ada menyediakan group term medical card untuk semua pekerja yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat.Medical card ini menyediakan perkhidmatan pesakit luar klinik & hospitalized.Tapi medical card tersebut ialah konvensional.
Kemudian setiap tahun kami diberi peruntukan oleh majikan dalam bentuk point dan diberi pilihan samada untuk ;
A) Menaikkan kadar perlindungan medical card
- Jika melebihi had yang disediakan,maka pekerja perlu menambah bayaran melalui potongan gaji
B) Tidak membuat sebarang perubahan
C) Menurunkan kadar perlindungan medical card
- Maka akan banyak point yang berbaki
Hasil dari lebihan point tadi,pekerja boleh membuat beberapa jenis claim bergantung kepada jumlah point yang berbaki oleh setiap pekerja.
Sebagai contoh boleh claim petrol,servis kereta,peralatan elektronik dsb.Misalnya saya ada lebihan 500 point,maka saya layak untuk claim petrol saya berjumlah Rm500 dengan 500 point.Kemudian syarikat akan kreditkan duit kedalam account bank saya.
1) Soalan saya bolehkah kami pekerja muslim menggunakan medical card tersebut ?
2) Apakah dibolehkan pekerja muslim menerima wang pampasan dari syarikat insurans tersebut jika berlaku kematian?
3) Apakah hukum wang yang kami terima hasil dari transaksi claim point tersebut ?
Sekian,
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali ke 3/2011 yang bersidang pada 14 Jun 2011 telah memutuskan:
Insurans konvensional adalah suatu muamalat yang diharamkan kerana bercanggah dengan prinsip Islam. Oleh yang demikian, pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.
Walau bagaimanapun, merujuk persoalan yang dikemukakan berkaitan medical card yang diberikan oleh syarikat (tanpa caruman daripada pekerja), maka harus bagi setiap pekerja menggunapakai kemudahan medical card tersebut dan mengambil manfaat daripadanya.
Manfaat kesihatan yang diterima dari syarikat walaupun ia berasal dari konvensional adalah bukan pilihan kita tetapi ketetapan majikan dan berdosa itu hanya jatuh kepada majikan bukannya pekerja. Kita sebagai pekerja hanyalah penerima manfaat sahaja.
Sebagaimana yang diceritakan ketika jamuan Barirah bekas hamba ‘Aisyah yang menghidangkan daging kepada Rasulullah SAW. Apabila daging itu dihidangkan kepada Rasulullah S.A.W, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab: “Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maksudnya keharaman Baginda memakan harta sedekah telah berubah menjadi harus disebabkan daging sedekah itu diterima oleh Barirah bukannya Baginda Rasulullah SAW.
Kesimpulannya, pilihan yang lebih baik kepada tuan selaku seorang Muslim adalah pilihan no 3 iaitu menurunkan kadar perlindungan dengan mengambil manfaat dalam bentuk yang lain. Dengan pilihan yang semakin banyak di luar sana, tuan boleh melanggan takaful medical card bagi menampung kekurangan manfaat (yang ditampung syarikat) sekiranya diperlukan. Tuan juga boleh mencadangkan kepada pihak syarikat untuk beralih kepada takaful bagi menjamin manfaat yang diterima lebih baik dan patuh syariah.
والله أعلم بالصواب