Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum... Saya ingin bertanya...
1.apakah sumber pendapatan saya halal@haram bilA bekerja di syarikat MCIS.
2. Diwaktu umur saya belasan tahun, saya telah memakan harta anak yatim.. Apakah cara saya boleh menebus dosa saya.
3. Di waktu muda, begitu banyak dosa saya terhadap orang lain ( yang tidak dikenali ), mencuri, menyamun, merompak, melakukan kekerasan, dadah dsb... Soalan : adakah cukup sekadar bertaubat..? Adakah semuanya memerlukan kemaafan dari pihak mangsa.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan ;
1. Berhubung dengan syarikat MCIS, ia merupakan syarikat Insuran Konvensional yang tidak patuh syariah. Oleh itu, adalah dilarang bermuamalah dan menjadi ahli syarikat. Untuk membersihkannya, anda perlu bertaubat dan berhenti. Sebagai pilihan, ambillah mana-mana sistem takaful.
2. Syabas dan tahniah kerana menyedari kesalahan yang dilakukan dimasa silam, ketika berumur belasan tahun iaitu ketika masih belum matang.
Untuk soalan 2 & 3 saudara perlu;
i- Bertaubat kepada Allah S.W.T.
ii- Buat perkiraan anggaran jumlah yang diambil dan masukkan ke mana-mana tabung anak yatim. (Jika kenalpasti anak yatim tersebut atau mereka yang terlibat kembalikan kepada mereka yang terlibat dan mohon maaf kepada yang terlibat)
iii- Lakukan amal soleh secara istiqamah.
iv- Yakinlah bahawa Allah S.W.T Maha Pengampun, yang akan mengampunkan segala dosa-dosa silam.
والله أعلم بالصواب