Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualikum... Mohon pencerahan. Apakah hukum umat Islam terlibat dalm perniagaan Mary Kay yg jelas menyumbang kpd agama kristian?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan, asal suatu perkara adalah harus sebagaimana kaedah berbunyi;
الأصل في الأشياء الإباحة
Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus”
Hukum menjalankan perniagaan yang halal dan tidak bertentangan dengan hukum syarak adalah harus. Bagaimanapun apabila diketahui suatu perniagaan itu mempunyai dasar untuk penyebaran agama Kristian, maka terdapat unsur shubhah di situ. Bersubahat atau bekerjasama dalam usaha penyebaran agama Kristian adalah dilarang.
Allah SWT berfirman dalam surah al- Maidah ayat 2 :
وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ
Maksudnya : "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."
والله أعلم بالصواب