Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Disini saya menanyakan tentang puasa. Saya sudah beberapa tahun tidak menggantikan puasa. Dan saya tidak pernah bayar fidyah sejak itu. Dan yang pernah saya pelajari jika kita tidak menggantikan puasa, kita perlu menggandakan puasa tersebut selepas Ramadhan seterusnya. Dan adakah puasa yang digandakan itu perlu juga digandakan lagi sekiranya kita masih tidak menggantikan sebagai contoh saya tidak sempat menggantikan 5 hari pada tahun 1439h, jadi pada tahun 1440h saya perlu menggandakan ganti itu menjadi 10 hari. dan jika saya masih tidak menggantikan juga, adakah masih perlu digandakan ke 20 hari pada tahun seterusnya? Tentang fidyah pula bagaimana kiraannya, dan perlukah saya menggantikan puasa yang digandakan itu sekali atau hanya menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan sahaja?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan, saudari wajib mengqada’ puasa mengikut jumlah bilangan hari yang telah ditinggalkan sahaja tanpa menggandakan jumlah hari tersebut. Menurut mazhab Shafie, hanya fidyah sahaja yang berganda. Sebagai contoh, pada tahun 1439H saudari telah meninggalkan puasa sebanyak 5 hari, ia tidak akan berganda menjadi 10 hari pada tahun 1440H. Jumlah puasa yang wajib diqada’ bagi tahun 1439H yang telah ditinggalkan masih kekal sebanyak 5 hari. Sekiranya saudari belum dapat mengqada’ puasa tersebut, tetapi pada tahun 1440H saudari meninggalkan puasa pula sebanyak 6 hari , maka jumlah puasa yang wajib diqada’ adalah sebanyak 11 hari. Tiada gandaan bagi jumlah hari yang perlu diqada'.
Berkaitan dengan fidyah pula, saudari perlu membayar fidyah mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan sekiranya tidak diqada’ puasa tersebut sehingga masuk ke bulan Ramadhan yang baharu. Kadar fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak. Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan pemerintah di sesuatu tempat. Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada fakir dan miskin dan bukan berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya. 1 hari mewakili nilai yang perlu dibayar adalah 1 cupak beras. Pihak Lembaga Zakat Selangor menawarkan kemudahan membantu bayaran fidyah kepada mereka yang memerlukan. Mengambil kira contoh di atas, bagi 11 hari puasa yang ditinggalkan kiraannya adalah RM 1.80 (secupak) x 11 hari (puasa yang ditinggalkan) = RM 19.80. RM 1.80 adalah mengambil kira nilai secupak beras di Selangor.
Terdapat dua kaedah bagi bayaran fidyah sama ada digandakan atau tidak digandakan. Ini berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 yang bersidang pada 16 Januari 2001 telah membuat keputusan bahawa: Harus menggunakan 2 kaedah: i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun. ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah. http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa-xwarta/2001-2005/812-hukum-gandaan-fidyah-dan-kifarah. Justeru, saudari boleh berurusan di mana-mana kaunter zakat yang berhampiran untuk membuat pembayaran fidyah tersebut.
والله أعلم بالصواب