Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: 1.Apa Hukum Menadah Tangan Semasa Khatib Baca Doa Pada Khutbah Kedua. Ade katakan boleh and ade yang katakan tidak boleh. Saye dah keliru dan takut ia berdosa. Minta penjelasan kalau boleh atau tidak. 2. Hukum baca doa serta merta selepas Azan. Ada yang mengatakan Nabi Muhammad SAW minta selawat dahulu baru baca doa selepas azan. Minta Penjelasan.
Jawapan
1. Hukum menadah tangan semasa khatib membaca doa pada kutbah kedua perlu dilihat kepada dua keadaan iaitu kepada khatib atau para jama’ah yang hadir. Adapun bagi khatib, perbuatan mengangkat tangan ketika berdoa ketika khutbah adalah tidak disunatkan sebaliknya hanya perlu mengisyaratkan dengan jari telunjuk sahaja. Larangan menadah tangan ini khusus kepada khatib sahaja berdasarkan kepada riwayat yang diceritakan bahawa ‘Imaroh bin Ruwaibah RA melihat Bisyr bin Marwan menadah tangan ketika berdoa dalam khutbah, lalu beliau mengingkari perbuatan tersebut dan berkata ;قَبَّحَ اللهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ، لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا، وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ Maksudnya: Semoga Allah memburukkan kedua tangan itu, sesungguhnya aku telah melihat Rasulullah SAW berdoa tidak lebih daripada menggunakan tangannya begini, sambil mengisyaratkan dengan jari telunjuknya.(Riwayat Muslim). Manakala bagi makmum, disunatkan menadah tangan ketika berdoa berdasarkan dalil-dali umum yang banyak menceritakan adab dan perbuatan Nabi ﷺ ketika berdoa disamping tiada larangan khusus keatas makmum untuk menadah tangan mengaminkan doa khatib. Diantara riwayat berkaitan adab berdoa adalah hadis yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi RA, daripada Nabi ﷺ baginda bersabda : إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ، يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ، أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT bersifat dengan Malu dan Mulia, malu apabila seseorang lelaki mengangkat kedua tangannya (memohon doa) dengan membiarkan kedua tangan itu kosong tanpa dimaqbulkan doanya. (Riwayat al-Tirmizi). Doa merupakan satu ibadah dan setiap ibadah memiliki adabnya yang tersendiri supaya ibadah tersebut diterima oleh Allah SAW. Adab adalah nilai yang paling tinggi perlu dititikberatkan oleh seorang muslim, lebih-lebih lagi ketika berdoa memohon kepada Allah SAW Yang Maha Agung. 2. Sunat membaca doa selepas selesai azan dikumandangkan. Adapun jika doa tersebut didahului dengan selawat kepada Nabi ﷺ , perbuatan tersebut harus dilakukan walaupun tiada permintaan khusus dari Nabi ﷺ untuk kita berbuat demikian. Selawat sebelum doa selepas azan merupakan perkara tambahan yang baik bagi mereka yang ingin bertawassul dengan kedudukan dan kemulian Nabi ﷺ yang telah menyampaikan kepada kita pensyariatan azan dan solat. والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.