Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum.. 1) Sekiranya suami mempunyai lintasan fikiran contohnya, 'Sekiranya isteri ku berhubung dengan bekas tunang maka jatuh talak' namun sang suami tidak melafazkannya dan isteri melakukannya, adalah dikira jatuh talak? 2) Adakah lintasan di dalam fikiran dan hati menceraikan isteri dikira jatuhnya talak?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, sekiranya hanya berbentuk lintasan fikiran atau detik hati atau bisikan yang tidak diikuti dengan pelaksanaan atau perbuatan maka ianya tidak menjadikan jatuhnya talak. Sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A katanya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah memaafkan daripada umatku, apa-apa yang tergerak dalam hati selama belum dibicarakan atau dilaksanakan (dikerjakan)” (Riwayat al-Bukhari) Walaubagaimana pun, dalam isu berkaitan persoalan talak atau cerai, ianya adalah merupakan bidang kuasa mahkamah syariah. Oleh yang demikian, pihak kami berpandangan adalah lebih baik sekiranya pihak puan dapat merujuk ke mahkamah syariah yang berhampiran dalam kadar segera bagi merungkai dan mengesahkan persoalan yang diutarakan oleh pihak puan. والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.