Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ada tersebar melalui whatsapp baru-baru ini bahawa ada hadis nabi Muhammad S.A.W menyatakan tentang larangan memakai penutup mulut ketika solat. Ketika PKP ini, solat di masjid memerlukan memakai penutup mulut. Harap tuan dapat memberi pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan berkaitan sebaran hadis larangan menutup mulut ketika solat yang mana hadis tersebut diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: أنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ السَّدْلِ فِي الصَّلاَةِ وَأَنْ يُغَطِّيَ الرَّجُلُ فَاهُ Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang meleretkan pakaian di dalam solat serta (melarang) seseorang lelaki itu menutup mulutnya (di dalam solat)”(Riwayat Abu Daud). Hadis di atas secara jelas menunjukkan terdapatnya sighah larangan ke atas perbuatan menutup mulut semasa solat. Cumanya para ulama berbeza pandangan samada larangan tersebut membawa kepada hukum haram ataupun makruh. Antaranya Syeikh Badr ad-Din al-‘Aini di dalam kitabnya Syaraḥ Sunan Abi Daud mengatakan larangan dalam hadis ini bukannya dalam bentuk umum (makruh) kerana antara sebab kenapa ia dilarang adalah supaya tidak menyerupai kaum Majusi di dalam beribadah. Manakala dalam kitab Al-Majmu’ pula, Imam Nawawi mengatakan makruh seseorang melakukan solat dengan talatsum, ertinya menutupi mulutnya dengan tangan atau selainnya. Makruh di sini adalah makruh tanzih (tidak haram) sehingga tidak menghalangi sahnya solat. Namun sekiranya ada hajat/keperluan seperti keadaan sekarang ini iaitu penularan wabak Covid-19 adalah tidak termasuk dalam larangan di atas dan tidak makruh serta tidak memberi kesan kepada rukun mahupun syarat sah solat seseorang. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Apabila seorang di antara kamu menguap, maka hendaklah ia meletakkan tangannya ke mulut kerana sesungguhnya syaitan akan masuk ke mulut sekiranya tidak di tutup ketika menguap.” (Riwayat Muslim) Dalam keadaan penularan wabak, pihak pemerintah telah mewajibkan untuk kita memakai mask ketika berada di kawasan tumpuan ramai termasuklah rumah ibadah. Pemakaian mask juga telah menjadi suatu keperluan bagi mencegah penyakit berjangkit ini dari tersebar dalam kalangan kita serta merupakan salah satu alat pelindung diri yang sangat dianjurkan dipakai ketika berada di luar rumah. Kaedah feqah mengatakan : الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُوْرَةِ Maksudnya : ‘Hajat menepati darurat’. Maksud hajat ialah jika tidak disempurnakan nescaya melibatkan atau mendatangkan kesukaran atau kemudharatan. بالصواب والله أعلم . Sekian, terima kasih.