Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Bolehkah ibu saya yg berumur 86 tahun sewakan bilik di rumahnya kepada 2 lelaki muda yang bujang tetapi bukan mahram. Ibu tinggal sendirian dan rumah ade 2 bilik kosong
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, menyewakan bilik kepada lelaki bukan mahram merupakan perkara yang dilarang kerana boleh membawa kepada khalwat dan menjerumus kepada penzinaan jika tinggal sekali dalam rumah yang sama. Firman Allah Taala: وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (al-Isra’: 32) Jelaslah bahawa ayat di atas mengajar kita bukan hanya untuk tidak berzina bahkan menjauhi zina dan tidak melakukan perkara yang boleh membawa kepadanya. Salah satunya ialah berkhalwat, dan jalan-jalan yang menuju kepada khalwat. Hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ، وَلاَ تُسَافِرَنَّ امْرَأَةٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita, dan jangan pula wanita itu bermusafir, kecuali (dalam dua-dua situasi) wanita itu ditemani dengan mahramnya.” (Riwayat al-Bukhari) Namun, apa yang berlaku pada masa kini, apabila dalam satu rumah, setiap bilik dihuni dan disewa oleh penyewa yang berlainan jantina, sudah pasti akan menimbulkan syak wasangka dan fitnah. Justeru, langkah yang paling wajar adalah mencari penyewa yang sama jantina agar dapat menghindari daripada melakukan kemaksiatan. والله أعلم بالصواب .Sekian, terima kasih.