Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: solat wajib yg tertunggak hampir 40 tahun kerana sesorang islam baru di beri hidayah....adakah 1. di Qadho setiap waktu dan boleh juga buat solat2 sunat. 2. perlu Wadho dulu semua solat wajib sampai habis, baru boleh buat solat2 sunat. 3. solat wajib yg ditinggalkn dulu, perlu taubat nasuha,,,diganti setiap waktu dan solat sunat boleh juga di buat 4. solat wajib yg ditinggalkn dulu hanya perlu taubat nasuha saja kerana terlalu bnyak utk Qadha,, dan boleh solat fardu dan solat sunat spt biasa...
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, dalam mazhab Syafi’e menetapkan orang yang mempunyai terlalu banyak solat yang ditinggalkan sehingga tidak tahu jumlahnya, hendaklah mengqadakan solat-solat tersebut sehingga diyakini semuanya telah diganti. Oleh itu, sesiapa yang meninggalkan solat selama 20 atau 30 tahun wajib menggantinya sedikit demi sedikit berdasarkan kemampuannya. Ini dilakukan sehingga kita yakin semuanya telah diganti. Contohnya: Seseorang yang meninggalkan solat selama 2 tahun boleh menggantikan setiap solat fardu yang ditinggalkan selepas solat tunai. Dengan erti kata lain selepas solat subuh ataupun sebelum, dan boleh menggantikan satu ataupun dua solat subuh yang ditinggalkan. Perkara ini dilakukan selama setahun ataupun dua tahun hingga yakin semua solat yang ditinggalkan sudah diganti. Sekiranya dia mampu melakukan lima solat qadha’ pada setiap waktu tunai, maka dia boleh melakukannya. Kami berpandangan bahawa menyegerakan qadha solat fardhu itu adalah keutamaan bagi tuan dalam hal ibadat, namun dibenarkan bagi tuan melakukan solat sunat yang bersebab contohnya solat sunat Duha dan Tahiyyatul Masjid. Juga digalakkan agar memperbanyakkan bersedekah dan berbudi kepada manusia. Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua. والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.