Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Ingin bertanya tentang najis anjing. 2 hari lepas, ketika waktu pagi sebelum subuh. Saya terdengar suara anjing menyalak. Selepas itu, saya terdengar bunyi barang diberanda rumah saya dilanggar. Tidak pasti sama ada tong sampah, baldi atau almari kasut dilanggar kerana hanya dengar bunyi sahaja, tidak nampak siapa yang langgar. Kawasan beranda rumah tidak berpagar. Tidak pasti kucing atau anjing yg langgar kerana diberanda rumah saya merupakan kawasan kucing liar berteduh dimalam hari. Selepas bunyi barang dilanggar, saya terdengar bunyi berdecit (citcitcit). Saya buka pintu, ketika itu la saya ternampak seekor anjing sedang berlari perlahan didalam beranda dan betul-betul didepan pintu rumah dan terus keluar dari beranda. Jadi disini saya ingin tanya, perlukah saya sertu halaman beranda saya? Saya telah sertu beranda saya. Adakah saya juga perlu sertu baldi, tong sampah dan almari kasut yang disyaki dilanggar anjing?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, Islam tidak memaksa melakukan sesuatu yang di luar kemampuannya. Walau bagaimana ia tidak bererti mempermudah-mudahkan. Saudari telah sertu di halaman beranda kerana nampak dengan jelas anjing keluar dari halaman beranda tersebut. Namun saudari tidak perlu sertu pada baldi, tong sampah dan almari kasut kerana tidak nampak dengan jelas kesan najis mughallazah tersebut. Jika nampak kesan najis tersebut maka perlulah disertu. والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.