Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam. Saya nak bertanya beberapa soalan. Saya kerja sebagai cleaner disebuah Hotel. Di hotel tersebut, ada sebuah bar yang menjual arak dan jugak Jackport ( Mesin Main Judi). Setiap malam, selepas bar tersebut ditutup, saya perlu membersihkan tempat tersebut seperti membuang sampah yang dipenuhi botol arak, lap meja, dan vacuum di dalam bar tersebut. Begitu jugak di jackport(Mesin main Judi), saya perlu lap dan sanitizer semua mesin judi. Jadi, soalan saya, apakah status gaji saya? Apakah hukum bagi kerja tersebut? Walaupun saya tidak main judi dan minum arak, saya hanya bersihkan saja tempat tersebut.itu saja soalan saya setakat ini. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, kerjaya di hotel adalah kerjaya yang halal dan baik. Cuma dalam aspek berkaitan arak, ia perlu diberi perhatian. Nabi S.A.W melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak seperti hadis daripada Anas bin Malik sabda Nabi S.A.W:قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِيَ لَهَا وَالْمُشْتَرَاةَ لَهُ Maksudnya: “Rasulullah saw melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah,yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya”.(Hadis HR at-Tirmidhi: 1295) Justeru bagi seorang mukmin hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dengan menghindari diri daripada terlibat daripada apa-apa pekerjaan yang terlibat dengan arak. Ini seolah-olah bersubahat dengan pihak hotel dan meredhakan apa yang dilakukan. Disarankan supaya pihak tuan berbincang secara baik dengan pihak majikan untuk melakukan tugasan yang tidak berkaitan dengan arak. Jika tidak berjaya , wajib mencari kerja di tempat lain. والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.