Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, - Sulit dan persendirian - Saya seorang lelaki yang menghidapi penyakit gynecomastia atau pembesaran buah dada yang disebabkan oleh hormon estrogen berlebihan dalam diri sejak remaja. Sering kali sejak sekolah, walaupun saya seorang lelaki, tetapi saya sering terasa mendapat "gangguan seksual" apabila orang sekeliling meraba dada saya dengan secara sengaja dan juga mendapat ejekan - malah juga berlaku di tempat kerja juga sekarang. Semasa remaja saya juga berbadan agak besar mungkin menyebabkan perkara ini berlaku. Oleh itu, saya berusaha untuk mengurangkan berat badan dengan harapan dapat mengecilkan dada secara semula jadi dengan teknik 'push-ups' dan bersenam selalu. Walaupun berat badan turun dengan drastik, malah saya rasa saiz kekal, malah lebih terserlah setelah kurus. Semenjak dulu lagi, situasi ini menimbulkan ketidaksenangan dalam diri saya secara mental sehingga saya sentiasa terasa murung (depression) dan risau (anxiety) terhadap persepsi orang ramai tentang diri saya. Saya makin kehilangan keyakinan dan terganggu dalam melakukan aktiviti harian di khalayak ramai. Kadang kala saya sentiasa menjauhkan diri dalam aktiviti sosial terumatanya aktiviti riadah/sukan bersama dengan memberi alasan yang banyak. Penyakit ini juga secara tidak langsung membuatkan saya kadang kala terasa bersendirian walaupun saya tahu rakan-rakan masih mahu berkawan dengan saya. Ini juga memberi tekanan kepada diri saya kerana ramai tertanya-tanya kenapa saya tidak pernah terlibat dalam sebarang perhubungan bersama seseorang (relationship) ataupun belum berkahwin. Saya sentiasa simpan rahsia ini kerana malu dan tidak berkayakinan. Selain itu, saya akan sentiasa memakai baju yang tebal, berlapis dan mebongkokkan badan saya dengan sengaja supaya dada tidak kelihatan orang sekeliling mahupun kenalan baik saya. Posture badan yang buruk ini dan tekanan mental yang berlarutan semenjak remaja ini telah menyebabkan penyakit kronik seperti migrain, stress, sakit tengkuk yang melampau akibat ketegangan otot dan TMJ (sakit rahang) berlaku pada diri saya secara tidak langsung. Dengan situasi yang saya alami selama ini, setelah memahami, pembedahan merupakan satu-satunya cara efektif untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut yang disebabkan oleh gynescomastia. Oleh itu, saya ingin bertayang - bolehkah / halalkah pembedahan dilakukan untuk membuang tisu berlebihan dalam bahagian dada saya atas dasar memulihkan keyakinan saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, sebaik-baiknya biarlah kita menjadi diri kita sendiri kerana segalanya itu adalah kurniaan Allah SWT yang mempunyai kelebihan tersendiri untuk disyukuri. Gemuk, kurus, perbezaan warna kulit, tinggi rendah tidaklah perlu dibanding-bandingkan. Bagaimanapun, jika penyakit tersebut dalam keadaan sakit yang membawa mudharat, maka wajarlah berusaha merawatnya berpandukan nasihat doktor pakar yang amanah. Soal keyakinan boleh dipupuk melalui kekuatan rohani berteraskan fahaman dan amalan agama. Begitu juga tentang jodoh, siapa jodoh kita adalah rahsia Allah SWT yang akan menentukannya. والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.