BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, tuan. Saya Syaza Farzana pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tahun 3 semester 1 jurusan undang-undang bersama dengan ahli kumpulan saya sedang menjalankan kajian bertajuk 'Abortion of Down Syndrome Babies' untuk matapelajaran Usul Fiqh. Walaubagaimanapun, sepanjang kajian dijalankan kami hanya mendapati bahawa kandungan boleh digugurkan bagi bayi yang menghidap zika semasa dalam kandungan dan tidak menjumpai fatwa mengenai bayi yang disahkan menghidapi down syndrome oleh doktor selepas 4 bulan usia kandungan boleh digugurkan. Justeru itu, kami ingin menanyakan pendapat tuan, berkenaan dengan bayi yang disahkan down syndrom oleh doktor selepas 4 bulan usia kandungan boleh digugurkan atau tidak mengikut perspektif Islam. Terima kasih. Wassalam.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, berkenaan pengguguran kandungan kerana kecacatan telah diputuskan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-26 yang bersidang pada 7-8 Mac 1990 telah membincangkan Pengguguran Kandungan Kerana Kecacatan. Muzakaran telah memutuskan bahawa haram menggugurkan janin di dalam kandungan, kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu. Adapun bagi pengguguran kandungan janin yang cacat selain daripada penyakit Zika, seperti Thalassemia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassemia, telah memutuskan bahawa: 1. Makruh menggugurkan janin yang berumur antara 1 hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri. 2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu; dan 3. Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk. Kesimpulannya, syarat bagi pengguguran janin yang diharuskan adalah janin yang mengalami kecacatan yang teruk dan berpenyakit, serta membahayakan nyawa ibunya sahaja yang dibenarkan untuk digugurkan sama ada sebelum atau selepas berumur 120 hari. Jika tidak menepati syarat yang ditetapkan hukumnya adalah haram. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 107

message user image