Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Pohon penjelasan mengenai perkara ini:- 1. Seorang bapa telah memberikan wang kepada anak2nya (dalam tempoh masa yang berlainan) dan berpesan supaya wang tersebut digunakan untuk belanja pengkebumiannya nanti. 2. Anak2 masing-masing tidak tahu bahawa bapa ada berbuat sedemikian kepada adik beradik masing-masing yang lain. 3. Selepas selesai urusan pengkebumian bapa (diurus oleh salah seorang anak) dan anak-anak kemudiannya dapat tahu bahawa sejumlah terkumpul RM17 ribu telah ditinggalkan oleh bapa sesama mereka dengan pesanan yang sama iaitu untuk urusan pengkebumian. 4. Adalah mengikut hukum, urusan pengkembumian haruslah guna harta si-mati DAN secara adatnya belanja pengkebumian hanyalah urusan kapan,korek kubur, upah dsbg yang biasanya kuranglebih RM1 ribu sahaja. 5. Urusan belanja kenduri tahlil dsbg bukan urusan pengkebumian dan tidak boleh guna pesaka si-mati. 6. Persoalan saya, apa yang harus dilakukan dengan baki wang yang ditinggalkan dengan pesanan seperti diatas? Adakah harus ditunaikan wasiat tersebut walaupun mustahil hendak dilakukan sekarang? 7. Simati ada harta pesaka lain. Adekah perbezaan hukum atas wasiat tersebut (bagi baki wang) jika ianya melebihi atau kurang 1/3. 8. Adakah baki tersebut boleh menjadi pesaka hak ahli waris? DAN 9. Sekiranya baki wang tersebut telah dibahagikan kepada ahli waris, dan kemudiannya didapati hukum menetapkan wasiat bagi baki wang tersebut harus ditunaikan jugak, Adakah waris perlu menggantikan wang tersebut? Wallahu'alam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan” (an-Nisa’: 11) Bagi menjawab persoalan tersebut, ringkasannya adalah seperti berikut: 1. Adalah sebaiknya memulangkan semula duit pembayaran yang didahulukan oleh waris ketika urusan pengebumian, kerana telah ada duit khusus bagi urusan tersebut (permintaan arwah), maka ditolak sahaja daripada bahagian faraidh nanti. 2. Tidak perlu untuk menunaikan permintaan arwah kerana urusan pengkebumian telah pun selesai dengan kos yang tertentu (hanya RM 1 ribu sahaja) dan tidak perlu diambil semula sekiranya telah diagihkan kepada ahli waris (faraid). 3. Setelah selesai urusan agihan hutang–piutang dan wasiat, bakinya perlu dimasukkan dalam harta peninggalan arwah yang mana pengagihannya adalah secara sistem faraid. والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.