Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Saya ada satu pertanyaan. Dulu, lepas saya akil baligh, saya menjalankan ibadah puasa namun saya mempunyai hadas besar tetapi tidak bermandi wajib. Saya mengetahui bahawa menjalankan sesuatu ibadah dengan berhadas besar, ibadah tersebut tidak diterima Allah s.w.t.. Sekarang saya telah sedar bahawa hendaklah bersuci atau bermandi wajib setelah berhadas besar supaya amal ibadah dapat diterima oleh Allah s.w.t. Bagaimana cara saya ingin bertaubat kepada Allah s.w.t. setelah saya berpuasa dengan lamanya dalam keadaan berhadas besar? Mohon penjelasan dan terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, mandi wajib tidak termasuk dalam syarat sah puasa. Syarat wajib puasa ialah Islam, baligh, berakal dan suci daripada haid & nifas (wanita). Maka puasa tuan sah dan diterima oleh Allah. Namun, mandi wajib perlu disegerakan kerana Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah melambat-lambatkan mandi wajib supaya tidak terlepas waktu solat. Jika tidak mandi wajib sehingga terlepas waktu solat, maka berdosa dan wajib mengqada’kan solat yang ditinggalkan. والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.