Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam. Adakah nas yg menyatakan. Apabila seseorang islam itu meninggal mlm jumaat. Terlepas siksa kubur. Tkasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, terdapat hadis berkaitan kematian seorang muslim pada malam Jumaat akan terlepas daripada azab kubur adalah seperti berikut:-Hadis Pertama: Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: مَنْ مَاتَ يَوْمَ الجُمُعَةِ أو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ وُقِيَ فِتْنَةَ القَبْرِ Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur”. [Hadis Riwayat Ahmad] -Syeikh Syu’aib al-Arnout (Ulama’ Hadis di Jordan) mengatakan sanad pada hadis ini dhaif (lemah) dan syawahid(penguat hadis lain) yang ada untuk menyokong hadis ini adalah tidak boleh dan tidak sesuai untuk dijadikan syawahid. - Hadis Kedua: Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوْتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَو لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إلَّا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ القَبْرِ Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan dibebaskan oleh Allah SWT daripada fitnah (azab) kubur”. [Hadis Riwayat Al-Tirmizi] Imam al-Tirmizi menghukum hadis ini sebagai gharib (ganjil) dan sanad yang ada pada hadith ini tidak bersambung disebabkan seorang perawi bernama Rabiah bin Saif. Begitu juga, al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa pada sanad hadith ini adalah dhaif. Berdasarkan hadis yang dinyatakan di atas, memang terdapat nas hadis bagi kematian pada hari Jumaat atau malam Jumaat. Namun para ulama telah menilai hadis tersebut lemah dan tidak sesuai dijadikan hujjah serta mengatakan tidak terdapat hadis yang sahih dalam menceritakan akan kelebihan orang yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan terlepas daripada azab kubur. Walau bagaimanapun, hari Jumaat adalah sebaik-baik hari sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis yang bermaksud “sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari adalah hari Jumaat” dan mana-mana orang Islam yang meninggal pada hari tersebut tidaklah menunjukkan kematian melainkan memperolehi husnul khatimah (pengakhiran yang baik). والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.