Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbth. 1. Saya mohon bertanya adakah duit dividen dari insurans pendidikan Great Eastern anak yg telah matang (shgg 18thn) dikira sebagai Wang Tak Patuh Syariah (WTPS)? 2. Jika ya , adakah dividen atau bonus tersebut boleh diambil sebahagiannya atau semuanya perlu diberi kpd pihak2 badan kebajikan? 3. Dan bagaimana status simpanan/saving jumlah pokok yg terkumpul. Adakah itu dianggap sebagai saving.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, mencari sesuatu yang halal untuk dimakan atau digunakan dalam kehidupan seharian adalah merupakan suatu kewajipan yang difardukan oleh Allah SWT ke atas setiap Muslim. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim” (Riwayat al-Tabrani) Merujuk kepada persoalan hukum insurans konvensional, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) telah memutuskan hukum berkaitan dengannya dalam beberapa siri persidangan yang membahaskan status insurans konvensional. Secara umumnya semua jenis insurans konvensional sama ada insurans nyawa, insurans am serta mempromosikannya juga adalah haram. Kesimpulannya, penghasilan daripadanya juga adalah haram, bagi menjawab persoalan puan: 1. Dividen yang diterima adalah wang tidak patuh syariah dan ianya adalah haram. 2. Keseluruhan dividen adalah haram dan boleh menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang menguruskan wang-wang tersebut. Jika puan di Selangor, Bahagian Baitulmal, MAIS adalah bertanggungjawab terhadap wang tidak patuh syariah. 3. Bayaran pokok yang disalurkan kepada insuran tersebut adalah halal dianggap sebagai simpanan dan hanya portion saving ini sahaja yang boleh diambil. والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.