Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Sy ada nak tanya 1 soalan pasal timbangan.. Adakah bersalah kalau sy letak simbol (±1kg) dlm sesuatu barangan? Walhal berat nya dalam anggaran 930g-1.1kg. Apa maksud dengan simbol ±? Bantu sy dlm hal ni kerana sy risau dan takut pasal timbangan. Dan kalau ia bersalah dan apa solusi yang sepatutnya saya lakukan? Mohon pencerahan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam?”(al-Muthaffifin 1-6) Adalah menjadi kewajipan peniaga untuk sentiasa berlaku jujur dalam perniagaan yang dijalankan khususnya dalam hal timbangan. Dengan zaman semakin canggih dengan teknologi yang tepat dari segi sistem serta ukurannya, adalah lebih baik tuan menggunakan ukuran dan timbangan yang sebenar. Jika 1 kilo, tulis sahaja 1 kilo dan jika 950g maka tuliskan 950g, ini lebih menjauhkan diri kita dari perasaan was-was dan tidak dianggap menipu. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda : من غش فليس منا Maksudnya : “Siapa yang menipu bukan dari kalangan kami”. (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب . Sekian, terima kasih.