Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum dan selamat sejahtera, Saya di sini ingin bertanyakan tentang hukum hasil pendapatan daripada aplikasi untuk like, subscribe dan follow sebarang akaun media sosial /gambar/ video sesorang terkadang sesuatu yang menjolok mata. . Terkadang juga kita tak tahu apa yang kita like/subscribe/ follow tu sama ada berunsurkan lucah, fitnah dan sebagai ya. Kemudian kita akan dibayar daripada aktiviti-aktiviti itu setelah selesai melakukan tugas yang ditetapkan. Senang kata apps ni aplikasi untuk jana pendapatan dalam talian dan dalam masa sama ada pelaburan internet. Kadang2 tu bila ada orang join under kita melalui, kita akan dapat 16% keuntungan daripada pelanggan baru tu. Adakah hasil pendapatan itu haram? Mohon penjelasan. Terima kasih
Jawapan
Hukum hasil pendapatan daripada aplikasi tersebut adalah bergantung kepada perkara atau sesuatu yang di like, subscribe dan follow. Jika perkara atau sesuatu itu baik maka halal hukumnya. Jika perkara atau sesuatu itu tidak baik, maka haram hukumnya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-maidah ayat 2: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.