Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Asslamaualaikum ustaz, saya ada satu soalan berkenaan dengan solat. Bukan niat saya untuk memalukan atau bersangka buruk dengan kawan saya, tetapi adakah saya turut berdoa seandainya saya tahu kawan saya tidak melakukan solat lima waktu, dan saya tidak berani untuk menegurnya. Kerana setiap kali saya tanya adakah dia boleh solat, dia akan menjawab dia sedang dalam haid. Apa yang harus saya lakukan? Saya takut saya turut berdosa kerana saya tidak menegurnya kerana kami adalah roomate dan saya takut dia akan anggap saya menyibuk akan hal dirinya. Harap ustaz dapat menjawab. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, dalam perkara berkaitan solat, ia adalah menjadi kewajipan bagi setiap muslim yang mukallaf. Sebagai rakan serumah, saudari wajib menegur dan menasihatinya dengan baik. Dalam perkara berkaitan syarak, tolak perasaan malu dan takut untuk menegur. Jika setelah dinasihati, dia masih berterusan meninggalkan solat tanpa uzur syarie, tidaklah saudari berdosa kerana setiap orang Islam yang baligh, mumaiyiz, berakal, dan waras adalah dipertanggungjawabkan amalan baik dan buruk ke atas diri masing-masing. Siapa yang melakukan dosa, mereka tidak menanggung dosa orang lain, melainkan dosa dirinya sendiri, Sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya : “Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)”. (al-Isra’: 15) Disamping itu, saudari juga boleh mendoakannya semoga dia berubah dan diberi hidayah oleh Allah SWT. Selagimana kita mendahulukan Allah dalam setiap urusan, Allah akan sentiasa melindungi kita walau diuji dengan pelbagai cara. Solat itu adalah tiang agama, apabila tegak agamanya, maka luruslah hidup kita. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.