Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Nenek saya telah meninggal dunia. Nenek saya ada tinggalkan sejumlah wang kepada ayah saya. Baru2 ni ayah saya meninggal dunia. jadi, adakah duit itu boleh digunakan oleh kami anak beranak & ibu utk kelangsungan hidup. Atau duit itu perlu difaraidkan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, pertama sekali perlu dipastikan dahulu bagaimana akadnya semasa penyerahan wang tersebut. Adakah wang yang ditinggalkan itu diserahkan terus menjadi milik ayah ataupun sekadar meminta ayah untuk menjagakan wangnya. Sekiranya wang itu hanya meminta ayah untuk menjaga atau menyimpan maka wang tersebut menjadi pusaka nenek dan perlu difaraidkan kepada waris-waris nenek. Sebaliknya, wang tersebut diserah kepada ayah dan menjadi milik ayah maka ia menjadi harta pusaka ayah dan perlu difaraidkan kepada semua waris ayah yang ada. Adalah dicadangkan supaya saudari berhubung dengan pihak BaitulMal, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mendapatkan penerangan dan penjelasan yang lebih lanjut berhubung perkara ini. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.