Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Soalan: Assalamualaikum ustaz. Bolehkah seseorang berpegang kepada prinsip Kerja itu Sebagai Ibadah dan sudah cukup memberinya pahala sebagai bekalan selepas mati. Dia menjalankan ibadah wajib iaitu solat 5 waktu dan puasa di bulan Ramadhan tapi merasakan ibadah sunat yang lain (Membaca AlQuran , Belajar Agama, solat2 sunat atau puasa sunat) tidak perlu/penting kerana dia yakin yang kerja keras sahaja sudah mencukupi. Bagaimana cara untuk menasihati dia. Terimakasih ustaz
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, mengamalkan prinsip bekerja suatu ibadah, itulah pendirian yang sewajar-wajarnya dilakukan. Bagaimanapun ia perlu memenuhi syarat-syarat yang selari dengan syarak, seperti niatnya, kesungguhannya dan bidang kerjayanya. Dan ia dikategorikan sebagai ibadat umum, yang akan dikurniakan pahala. Berkait dengan ibadah khusus , Allah SWT mensyariatkan dalam kategori wajib seperti sembahyang, puasa, haji dan lain-lain. Di samping yang wajib ada ibadah dalam kategori sunat, yang akan diberi pahala kerana mengerjakan dan tidak berdosa jika ditinggalkan, mengamalkan yang sunat adalah galakan dalam ketaatan, kerana dengan melazimi mengamalkan yang sunat akan dapat menjamin amalan yang wajib dapat terpelihara. Walaupun tidak berdosa kerana meninggalkan yang sunat, tetapi mengiktikadkan yang sunat sebagai tidak perlu atau tidak penting disamping meyakini kerja keras adalah mencukupi adalah persoalan mengubah ketentuan hukum Allah, yang boleh menjejaskan akidah. Sesungguhnya kurniaan Rahmat Allah adalah kerana ketentuannya berdasarkan suruhan dan larangan dengan penuh ikhlas, bukan dengan amalan yang mempunyai unsur riak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.