BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamu’alaikum, saya ingin bertanya hukum sedekah Al-fatihah kepada si mati (orang Islam). Saya dapati ada yang menyatakan amalan ini tidak dilakukan oleh Nabi dan kita dilarang mengamalkan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi. Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, hukum sedekah bacaan al-fatihah akan sampai kepada si mati dan ini termasuklah berdoa dan beristighfar kepada Allah SWT untuk disedekahkan kepada si mati. Ini kerana si mati akan mendapat manfaat dari sedekah-sedekah yang dilakukan untuknya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Riwayat Muslim) Imam al-Nawawi mengulas isu ini di dalam al-Azkar dengan katanya: “Telah ijmak ulama bahawa doa untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka dan pahalanya sampai kepada mereka ianya berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Hasyr ayat 10: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami…”Beliau juga menyatakan, tentang bacaan al-Qur;an, terdapat perbezaan pandangan. Apa yang masyhur daripada mazhab Syafi’i bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Akan tetapi sekumpulan ashab Imam al-Syafi’i sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama lainnya yang mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat serta akan sampai pahalanya kepada si mati. Dan sebaiknya orang yang membaca al-Qur’an selepas selesai membacanya hendaklah berdoa: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada Fulan…” dan juga disunatkan memuji dan menyebut kebaikannya. (Rujukan: al-Azkar, m/s 164). والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 1016

message user image