BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan: Salam ustad/ustazah. Saya ingin bertanya betulkah sesetengah wangi minyak attar disukai oleh jin atau jin akan mendekati si pemakai dan tempat tinggalnya. Ini kerana sebelum ini saya ada pergi berubat dengan seseorang atas sebab sihir dan dia larang kami pakai sesetengah minyak wangi attar (saya lupa nama wangi attar tu) kerana mengikut dia jin akan suka si pemakai wangi tu dan adakala si pemakai ada benda atau dia berubat cara salah senang kata dia berubat dengan bantuan jin. Betulkah ustad? Saya agak keliru. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, adalah tidak benar sama sekali bahawa sesetengah minyak wangi attar disukai jin kerana memakai bau wangian adalah sunnah bagi kaum lelaki apabila pergi ke Solat Jumaat. Adapun bagi kaum wanita elakkan dari menggunakan wangian yang kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian lelaki ajnabi yang boleh menyebabkan fitnah dan juga boleh mengheret kepada lembah maksiat yang lain. Haram meminta pertolongan dengan jin walau dalam apa keadaannya sekalipun. Dan perkara ini adalah tercela dalam syarak. Ini berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat. (al-Jin : 6) Golongan jin dan syaitan tidak boleh memberi kemudharatan kepada diri manusia tanpa keizinan daripada Allah SWT. Firman Allah SWT : Maksudnya : “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Yunus : 107) Sebaik-baiknya berdoa, berzikir dan memohon perlindungan dari Allah SWT daripada kejahatan yang dilakukan oleh makhluk-makhluk dalam kalangan manusia, jin, syaitan dan alam sekeliling. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 353

message user image