Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum w.b.t. Saya merupakan seorang warganegara Malaysia dan berkahwin dengan suami yang merupakan bukan warganegara Malaysia. Saya menetap di negara beliau selepas berkahwin. Sebelum berkahwin, saya telah berterus-terang akan keadaan kesihatan saya. Saya mempunyai kemurungan dan menerima rawatan psikiatri atas sebab tersebut. Beliau menyatakan kesudian menerima keadaan diri saya dan atas sebab itu juga, saya bersetuju untuk berkahwin. Sepanjang tempoh perkahwinan, keadaan kesihatan mental dan psikologi saya agak terjejas disebabkan beberapa faktor. Saya meminta izin untuk mendapatkan rawatan psikiatri di hospital negara beliau namun tidak dibenarkan atas alasan bimbang aibnya akan terbuka. Beliau bimbang akan penerimaan orang sekeliling dan sekiranya ada yang mengenali dirinya serta keluarga. Sejujurnya, saya sangat kecewa. Soalan saya: 1.Didalam situasi sebegini, adakah saya berdosa sekiranya saya meneruskan juga rawatan tanpa keizinan dan pengetahuan beliau? 2. Didalam situasi ini juga, apakah yang sepatutnya diutamakan - Menurut perintah suami atas sebab menutup aib meskipun kesihatan semakin terjejas ATAU mengutamakan kesihatan diri sendiri? 3. Berdosakah saya sekiranya saya meminta untuk diceraikan kerana faktor kesihatan mental yang terjejas dan merosot disebabkan kurang kefahaman dan sokongan dari suami?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, secara umumnya menjaga kesihatan adalah tanggungjawab manusia atas amanah Allah ke atas diri setiap manusia. Tubuh badan serta kesihatan yang diberikan oleh Allah adalah wajib dijaga, dipelihara dan dilarang dari disakiti ke atasnya. Keyakinan umat islam bahawa Allah yang menyembuh adalah benar. Firman Allah S.W.T di dalam Surah Asy- Syuaára’ ayat 80: وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ Maksudnya : “Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku”.Namun begitu, ia tidak menegah manusia dari berusaha untuk berubat dan merawat penyakit. Malah tanda keyakinan yang benar berasaskan kefahaman yang tepat, umat islam pastinya berusaha untuk berubat dan merawat. Hadis dari Usamah bin Syarik yang menyebut mengenai seorang Arab Badwi bertanya kepada baginda S.A.W : “Wahai Rasulullah bolehkah kita berubat?”, Lalu baginda Rasulullah bersabda; نَعَمْ يَا عِبَادَ اللَّهِ تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ لَهُ شِفَاءً،أَوْ قَالَ دَوَاءً إِلَّا دَاءً وَاحِدًا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُوَ؟ قَالَ الهرم Maksudnya :”Ya berubatlah, kerana Allah telah menetapkan ubat bagi setiap penyakit yang diturunkan –Nya, kecuali satu penyakit!”Para sahabat bertanya: “Penyakit apa itu Wahai Rasulullah?”Baginda S.A.W menjawab: “Penyakit tua.” Merujuk kepada persoalan puan, penyakit yang berkaitan kesihatan mental dan psikologi juga memerlukan rawatan dari pakar. Berbincanglah secara baik bersama suamiuntuk mendapatkan rawatan lanjut. Dapatkanlah keizinan suami terlebih dahulu. Dalam masayang sama, ambillah langkah-langkah pencegahan secara kendiri melalui komunikasi dengan rakan-rakan dan saudara mara, dapatkan nasihat kaunseling daripada doktor pakar melalui media sosial. Selain itu, banyakkan berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T melalui zikir dan selawat. Di samping itu, taat dan berbaktilah kepada suami memandangkan beliau boleh menerima puan seadanya. Tidak perlu untuk meminta cerai selagi mana dia tidak melampaui batas seperti mencederakan puan atau tidak memberi nafkah zahir dan batin. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.