BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya nak tanya soalan berkaitan mencuri. Jujur cakap, waktu kecik sekolah rendah dulu, saya pernah mencuri, mula2 saya curi duit ibu bapa saya, selepas itu saya jadi ketagih. Saya mencuri barang/duit kawan saya, saya mencuri di kedai, banyak lagi lah, lepas tu ada barang yang saya curi tu ada yang saya bagi kawan saya. Semua perbuatan tu saya buat semasa saya sekolah rendah. Sekarang saya dah habis sekolah menengah dah pun. Jadi saya nak tanya, apa yang perlu dilakukan untuk saya tebus dosa2 saya? Apakah saya perlu membayar balik apa yang saya curi? Bagaimana dengan hasil curian saya di kedai dan terhadap orang yang saya tak berhubung? Selain itu, ada cara lain ke yang tidak memalukan saya dengan mengaku perbuatan saya terhadap mangsa curi saya? Akhir sekali, apa yang perlu saya lakukan terhadap barang hasil curi yang saya masih simpan?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, apabila telah timbul kesedaran dan penyesalan pertamanya saudari mestilah bertaubat kepada Allah SWT, berdoa dan memohon keampunanNya di atas kesalahan masa lalu saudari. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (al-Maidah : 39) Jika malu dan masih lagi menyimpan barangan yang dicuri, hendaklah diserahkan ke Baitulmal. Berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa; Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut: 1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya; 2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau 3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 1080

message user image