Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum wbt. Tuan,Saya ingiin luahkan kepada Panel. Hal ini berlaku lebih 24 tahun dulu sewaktu usia saya awal 20-an. Saya kerap menyewa video tape dari sebuah kedai video di kawasan rumah saya. Antaranya video gusti dan pornografi. Saya pernah tidak memulangkan beberapa video tape yang disewa dan sengaja mengambil barang tersebut atau mencuri daripada pemilik kedai itu yang berketurunan India dan beragama Hindhu. Kini, saya telah lama tidak menyimpan video tape yang diambil tanpa izin itu dan telah lama dibuang. Saya menyesal atas perbuatan itu dan ingin bertaubat kepada Allah SWT atas dosa-dosa itu. Malangnya, kedai tersebut telah lama tutup dan saya tidak mengetahui dimana pemilik kedai itu berada sekarang ini. Saya tidak dapat untuk memohon maaf kepada pemilik kedai itu kerana mengambil barang tersebut. Dalam situasi ini, apakah saranan Tuan yang boleh saya lakukakan untuk mengharapkan keampunan daripada Allah Taala. Kedai itu tutup apabila VCD diperkenalkan dan selepas itu saya tidak pula terbuka hati untuk memulangkan barang yang telah diambil itu. Saya amat mengharapkan jawapan balas daripada Panel dalam perkara ini.
Jawapan
Taubat adalah menyesal atas perbuatan dosa yang dilakukan dan tidak melakukannya kembali. Kaedah taubat yang perlu dilakukan adalah seperti berikut; 1) Hendaklah kita menjauhi dosa atau maksiat yang dilakukan 2) Menyesal atas dosa yang dilakukan. 3) Berazam tidak akan mengulangi kesalahan yang dilakukan. 4)Jika dosa itu melibatkan harta seseorang, maka hendaklah memulangkan harta tersebut atau membayar gantirugi. Oleh itu, bertaubatlah daripada mengambil harta orang lain secara bathil dan bertaubat darpiada melihat video porno. Oleh kerana ada melibatkan harta seseorang maka bayaran gantirugi perlu dibayar kepada pemilik kedai tersebut. Namun begitu, jika sekiranya pemilik tersebut tidak dijumpai, hal tersebut telah dibincangkan oleh para ulama’ dan telah disenaraikan langkah-langkah utama kepada mereka yang ingin memulangkan sesuatu kepada pemiliknya yang tidak ditemui. Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Imam al-Ghazali yang berkata:إذَا كَانَ مَعَهُ مَالٌ حَرَامٌ وَأَرَادَ التَّوْبَةَ وَالْبَرَاءَةَ مِنْهُ فَإِنْ كَانَ لَهُ مَالِكٌ مُعَيَّنٌ وَجَبَ صَرْفُهُ إلَيْهِ أَوْ إلَى وَكِيلِهِ فَإِنْ كَانَ مَيِّتًا وَجَبَ دَفْعُهُ إلَى وَارِثِهِ وَإِنْ كَانَ لِمَالِكٍ لَا يَعْرِفُهُ وَيَئِسَ مِنْ مَعْرِفَتِهِ فَيَنْبَغِي أَنْ يَصْرِفَهُ فِي مَصَالِحِ الْمُسْلِمِينَ الْعَامَّةِ كَالْقَنَاطِرِ وَالرُّبُطِ وَالْمَسَاجِدِ وَمَصَالِحِ طَرِيقِ مَكَّةَ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِمَّا يَشْتَرِكُ الْمُسْلِمُونَ فِيهِ وَإِلَّا فَيَتَصَدَّقُ بِهِ عَلَى فَقِيرٍ أَوْ فُقَرَاءَ Maksudnya: “Barangsiapa yang menyimpan harta haram (harta yang bukan miliknya, termasuk hutang) dan dia hendak bertaubat dari perbuatannya, serta hendak berlepas diri dari harta haram tersebut, hendaklah dia mencari si pemilik sah harta itu. Apabila si pemilik sah sudah meninggal dunia, hendaklah harta itu diserahkan kepada ahli warisnya. Namun jika si pemilih sah dan ahli warisnya tidak diketahui juga, hendaklah harta tersebut disalurkan kepada maslahat kaum muslimin, seperti membina jambatan, masjid, menjaga perbatasan negara Islam dan sektor lain yang bermanfaat untuk seluruh kaum muslimin. Atau boleh juga disumbangkan kepada fakir miskin”. والله أعلم بالصواب . sekian terima kasih.