BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum wbtTuan,Saya amat berharap pihak Jabatan Mufti dapat menjawab dua kemusykilan saya. Kemusykilan ini berkaitan tentang Aurad Ismailiah ajaran Sheikh Mahmud Abdul Rahman. Saya difahamkan bahawa ajaran ini sudah diharamkan oleh Jabatan Mufti Negeri Kedah (tahun 1979), dan didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor (tahun 1995). Persoalan yang pertama, boleh saya tahu mengapa ajaran tersebut dikatakan menyeleweng daripada ajaran Islam? Persoalan kedua, jika ajaran ini didapati menyeleweng dan telah diharamkan, mengapa masih ada madrasah yang sehingga kini mengamalkan ajaran ini di Selangor dan juga Kedah, dan tiada tindakan yang dilakukan ke atas mereka? Ataukah mungkin terdapat perubahan atau pindaan pada fatwa yang saya tidak tahu? Harap pihak Jabatan Mufti dapat memberikan penjelasan kepada kedua-dua persoalan dan keraguan saya.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, status fatwa tentang Aurad Ismailiah Ajaran Mahmud Bin Haji Abd Rahman yang telah diputuskan pada 23 November 1995 masih lagi kekal iaitu menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Antara sebab ia telah difatwakan adalah kerana gurunya mendakwa menerima wahyu daripada langit. Para pengikutnya menganggap bahawa guru mereka adalah Imam Mahdi al-Muntazar. Oleh sebab itu, mereka menganggap diri dan amalan mereka lebih suci dan tinggi martabatnya daripada orang lain yang tidak mengikut ajaran tersebut. Pihak Jabatan Agama Islam Selangor sentiasa memantau gerak-geri aktiviti setiap ajaran yang telah difatwakan. Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti ajaran tersebut boleh disalurkan kepada Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan untuk tindakan selanjutnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 88

message user image