BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum, saya nak tanya kalau kita bercakap mengenai kawan kita di belakangnya untuk menyiasat mengenai sesuatu hal, apakah hukumnya. Adakah dikira sebagai dosa kerana mengata?


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan saudari, hukum mengata seseorang adalah haram dan berdosa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujuraat : 12) Adapun, jika ia bertujuan untuk menyiasat sesuatu perkara yang bertujuan baik pada pandangan Islam dan terpaksa dilakukan adalah harus dengan tujuan : 1. Supaya orang yang teraniaya dengan perbuatan individu itu dapat diadili dan dapat mengubah perbuatan zalim pelakunya. Contoh : Membuat laporan polis di Balai Polis atau memberi keterangan kepada Hakim di Mahkamah. 2. Mengadu bagi meminta bantuan pihak berkuasa supaya mengubah perbuatan jahat seseorang agar dia balik ke pangkal jalan. Contoh : Seorang murid ternampak rakannya menghisap rokok dan terus memaklumkan kepada gurunya. 3. Menceritakan hal seseorang dalam keadaan meminta fatwa, iaitu bertanya berkenaan hukum agama. Contoh : Seorang isteri mengadu suaminya kedekut dan tidak memberi nafkah, apakah hukumnya?. 4. Menceritakan hal seseorang dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap kejahatan seseorang seperti : i. Mendedahkan perkara yang tidak elok yang ada dalam kalangan perawi hadis atau dalam kalangan saksi-saksi. ii. Memberitahu perihal seseorang berkenaan bakal suami atau isteri, bakal rakan kongsi dan seumpamanya. iii. Memberitahu kesilapan yang dilakukan oleh ahli ilmu kepada orang lain semata-mata bertujuan memberi nasihat, bukan ada unsur dengki dan sebagainya. iv. Memberitahu kecuaian dan kesalahan yang dilakukan oleh orang yang diberi amanah dalam sesuatu urusan kepada pihak yang mampu menyelesaikannya. 5. Menceritakan hal seseorang yang secara terang-terangan melakukan kejahatan seperti meminum arak, berjudi, berkelakuan jahat dan seumpamanya. Tetapi, bukan tujuan untuk menghina. Sebaliknya untuk menasihati orang lain supaya tidak menjadi seperti orang itu, ataupun dengan tujuan untuk menghentikan kesalahan orang itu, ataupun hendak memberitahu bahawa perkara yang mereka lakukan itu salah dan wajib di jauhi. 6. Memperkenalkan seseorang yang memang dikenali dengan nama-nama gelaran, contoh : “Si Ali Botak”, “Karim Pomen” dan sebagainya. Walau bagaimanapun, menceritakan perihal orang lain yang diharuskan ini, bukanlah bertujuan untuk mengaibkan seseorang, atau menghasut orang lain membencinya, atau menghebahkan keburukannya di khalayak awam, atau menjatuhkan kehormatan orang dan seumpamanya. Justeru, jika ingin melakukan siasatan sekalipun ia hendaklah dilakukan dengan cara yang berhemah dan berhati-hati sebagaimana firman Allah di atas. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 349

message user image