BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya berkongsi modal perniagaan bersama orang cina. Mereka mahu saya mengusahakan nasi ayam halal berkonsepkan franchise. Masalah nya isteri saya kata haram. Pasal duit modal mereka ada campuran jualan nasi babi. kerana mereka juga peniaga nasi ayam cina. Modal hanya sekali. Dan saya berniat untuk tolong bangsa melayu maju. Harap dapat penjelasan dari ustaz. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan tuan, harus hukumnya untuk bermuamalat memulakan perniagaan dengan rakan kongsi bukan islam. Islam mengharuskan bermuamalat tidak terhad kepada sesama Islam sahaja, tetapi juga diharuskan bermuamalat dengan orang bukan Islam. Tidaklah menjadi kesalahan untuk berkongsi modal dengan orang bukan Islam bagi menjalankan perniagaan dari jenis yang diharuskan oleh syarak. Tidaklah juga disyaratkan untuk menyelidik sumber modal tersebut sama ada daripada sumber yang halal, haram atau bercampur antara halal dengan haram. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Anám ayat 164; قُلْ أَغَيْرَ ٱللَّهِ أَبْغِى رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَىْءٍ ۚ وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَMaksudnya: Katakanlah: "Apakah aku akan mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia adalah Tuhan bagi segala sesuatu. Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudharatannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan". Sehubungan itu, Islam mengharuskan untuk berkongsi modal walaupun modal tersebut dikhuatiri daripada sumber yang haram seperti daripada pinjaman daripada bank konvensional ataupun daripada perniagaan menjual arak atau khinzir. Setiap dosa itu tertanggung ke atas pelaku, tidak ke atas orang lain sebagaimana ayat 164 daripada surah Al-An’am di atas. Walau bagaimanapun, terdapat pandangan yang tidak mengharuskan sebagai memenuhi sikap warak dan cara mendekatkan diri kepada Allah SWT serta sebagai langkah ihtiyat dan menjauhi daripada perkara syubhah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 161

message user image