Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Asslamualaikum . Sebelum ini saya seorang yang jahil. Mewarnakan rambut bermacam2 rupa. Akhir² ini saya berniat untuk berhijrah menjadi muslimah yg benar. Mendirikan solat. Jadi saya membuat keputusan untuk menghitamkan rambut saya untuk menutup warna warni sbelum ini. Adakah sah solat saya,ada ibadah saya diterima kerana dari apa yang saya kaji,warna hitam diharamkan dan saya baru tahu. Apa yg perlu saya buat? Adakah saya perlu melunturkan warna hitam tersebut dan mewarnakan dengan inai? Soalan kedua : jika saya benar² bertaubat dan menutup aurat. Adakah saya masih kekal berdosa jika gambar2 lama saya masih dilihat dan diperlihat dgn org ramai tanpa pengentahuan saya. Kerana saya tahu byk poster² lama kerana saya dulu menyanyi . Adakah dosa itu akan terus mengalir walaupun saya dah bertaubat . Soalan 3 : saya mempunyai masalah kulit yg teruk. Ditumbuhi sisik yg tebal . Kulit yg tebal. Dr kepala hingga ke kaki. Juga ada dalam kuku . Adakah sah wudhu dan mandi wajib saya? Kerana sisik itu tebal dan susah untuk dibuang. Adakah itu juga di anggap terhalang dr terkena nya air?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan ; 1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran di atas penghijrahan yang dilakukan dan semoga Allah SWT sentiasa merahmati puan. Adalah dimaafkan jika melakukan perbuatan atau apa jua perkara tanpa kita mengetahui hukum hakam yang sebenar disebabkan kita masih jahil dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalam sesuatu perkara atau hukum. Bermohonlah kepada Allah SWT semoga segala amalan yang dilakukan diterima oleh Allah dan semoga Allah mengamnpuni segala dosa dan kesilapan lampau. Harus hukumnya jika puan berhasrat untuk mewarnakan rambut yang telah dihitamkan dengan inai. 2. Puan boleh berusaha menghubungi pihak-pihak yang dipercayai ada menyimpan gambar atau poster-poster lama ketika tidak bertudung dan tiddk menutup aurat agar mengembalikan semula gambar-gambar tersebut dan meminta agar tidak menyiarkan gambar-gambar yang tidak menutup aurat. 3. Apabila sisik yang timbul tersebut adalah disebabkan masalah kulit yang puan hadapi dan kewujudannya adalah di luar kawalan kita. Sah wuduk apabila air dapat melalui kulit yang bersisik tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.