Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum saya nk tanya ada rukhsah solat x untuk wanita istihadah tanpa henti? Saya pernah baca wanita istihadah dibenarkan JAMAK solat... Mohon pencerahan
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, wanita istihadhah diberi kelonggaran (rukhsah) sah solat walaupun solat dalam keadaan berhadas dengan mengikut syarat di bawah iaitu; i. Pastikan telah masuk waktu solat. ii. Menyucikan najis pada kemaluan iii. Menutup kemaluan dengan memasukkan kapas ke dalam kemaluan dan memakai lampin pakai buang. iv.Berwuduk dan solat dengan segera. v.Tertib . Perkara i - v di atas adalah untuk satu solat fardhu sahaja dan beberapa ibadah sunat. Niat wuduk bagi wanita istihadhah adalah “Sahaja aku berwuduk bagi mengharuskan fardhu solat kerana Allah Ta’ala”. Sekiranya najis masih keluar ketika berwuduk atau solat maka ia dimaafkan kerana kesukaran (masyaqqah) dan solatnya sah serta tidak perlu diqada’. Adapun jamak solat hanya diharuskan kepada orang yang bermusafir dan pesakit yang sukar untuk bersuci dan menggangkat hadas disebabkan kemampuan pergerakkan yang terbatas dan boleh memudhoratkan diri pesakit. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.