Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamaualaikum dan selamat sejahtera, Saya ingin bertanyakan beberapa soalan tentang hukum. Pada peringkat usia 20 - 35 tahun adalah jangka masa sangat baik dan penting bagi kaum wanita yang kelihatan cantik atas menjaga penampilan diri dari ciri faktor bersekolah diperingkat universiti, berkerja mahupun ingin meningkatkan kecantikan pada diri untuk mendirikan rumahtangga. soalan yang saya ingin bertanya adalah:- 1. Apakah hukum seseorang wanita sama ada sudah berkahwin ataupun masih bujang yang mempamerkan gambar dirinya pada umum di sosial-media seperti facebook, instagram dan sebagainya terutamanya wanita yang berpakaian labuh dan longgar? 2. Apakah hukum seseorang wanita yang sudah menutup auratnya dengan sempurna dengan memakai purdah, niqab dan burqa tetapi berhias pada mata seperti memakai contact lens (kanta lekap) berwarna, memakai celak mata, adakah ia termasuk pada sifat tabarruj? 3. Apakah hukum seorang wanita memakai cincin pada jari telunjuk? Berdasarkan soalan yang saya tujukan adalah merujuk pada pandangan saya yang merasakan hairan dan sangat musykil pada pengedaran zaman dengan teknologi yang serba canggih, saya melihat terlalu ramai kaum wanita yang menutup auratnya dengan sempurna, yang memakai purdah dan sebagainya, memuat naik gambarnya di media sosial sehinggakan ramai ajnabi memuji. Tidaklah saya iri hati pada kecantikan kaum wanita yang lain kerana Allah SWT telah mencipta setiap hambaNya dengan kecantikan yang tersendiri, bagi saya, sepatutnya mereka yang menutup aurat dengan sempurna ini ada sifat rasa malu dalam diri mereka dengan hanya bercantik pada suami mereka. Saya rasa sangat sedih, malu dan marah dalam diri dengan menyatakan mengapa mereka tidak simpan kecantikan mereka hanya untuk orang yang halal bagi mereka, adakah mereka ketagihkan kepujian? maafkan saya jika apa yang saya katakan ini jauh tersasar dari hukum yang betul. Saya mengharapkan pencerahan dari pihak tuan, supaya dapat memperbetulkan pandangan saya dan dapat saya menambah dan mempertingkatkan lagi pengetahuan ilmu agama islam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari; 1. Hukum asal seorang wanita mempamerkan gambar dirinya dimedia sosial dengan berpakaian yang sempurna menutup aurat adalah tidak berdosa. Perlu dilihat kepada tujuan seseorang itu mempamerkan gambar atau mungkin poster dirinya sebagai tujuan mempromosikan perniagaan atau membuat hebahan tentang sesuatu perkara yang baik adalah dibolehkan. Namun sekiranya dengan cara memuatturun terlalu banyak gambar sehingga boleh mendatangkan fitnah, perbuatan tersebut perlu dielakkan kerana dibimbangi boleh membawa kepada berdosa. 2. Bagi wanita yang membuat naik gambar dirinya di media sosial dengan berpakaian yang sempurna menutup aurat tetapi berhias cantik pada bahagian matanya dengan tujuan mempamerkan kecantikannya adalah berdosa dan dilarang. Harus baginya memakai celak dengan sederhana sebagai hiasan bagi seorang wanita tanpa berlebih-lebihan. 3. Tiada halangan bagi seorang wanita untuk memakai cincin di mana-mana sahaja jari yang ia sukai. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.