Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya telah berkahwin dgn seorang wanita yang telah ditinggalkan suaminya yg terdahulu selepas suaminya terdahulu meninggalkannya tanpa beri nafkah zahir dan batin selama hampir 3 tahun.Akan tetapi isteri saya tidak memohon cerai taklik di mahkamah syariah kerana perkahwinan mereka sebelum ini tidak pernah didaftarkan dan untuk pengetahuan tuan saya bernikah dengannya ketika dia masih status bujang oleh sebab perkahwinan sebelum ini yg tidak pernah didaftarkan. Soalan pertama, adakah sah perkahwinan saya dengan isteri sekarang dan jika ada anak bagaimana statusnya?Mohon pencerahan.Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara; Status perkahwinan saudara adalah tergantung kepada beberapa perkara : 1. Isteri saudara perlu terlebih dahulu mengesahkan dan mendaftarkan pernikahannya yang terdahulu ke Mahkamah Syariah yang berdekatan dengan kadar segera. Ini bagi memastikan status pernikahannya yang terdahulu adakah sah atau tidak sah. Sekiranya pernikahan terdahulu adalah sah pada hukum syarak, maka sekiranya ingin berkahwin dengan orang lain isteri tersebut perlu memohon perceraian terlebih dahulu ke mana-mana Mahkamah Syariah yang berkaitan atau mana-mana Majlis Agama Islam yang berkaitan tempat nikah beliau yang terdahulu. Sekiranya pihak isteri tersebut telah mendapat pengesahan perceraian dari Mahkamah Sayariah atau Majlis Agama Islam tersebut, dan selesai tempoh iddah, barulah dia boleh berkahwin dengan orang lain. 2. Sekiranya setelah disiasat oleh Mahkamah Syariah dan didapati pernikahan tersebut adalah tidak sah, maka Mahkamah Syariah akan mengeluarkan surat faraq dan bolehlah bernikah dengan lelaki lain setelah tamat tempoh eddah sekiranya pernah disetubuhi oleh suami terdahulu atau boleh terus bernikah tanpa tempoh iddah sekiranya masih belum disetubuhi ketika pernikahan terdahulu. 3. Memandangkan urusan berkaitan pengesahan pernikahan adalah di bawah bidang kuasa mahkamah syariah, maka pihak kami mencadangkan agar pihak saudara berurusan ke mahkamah syariah yang berhampiran bagi mengesahkan pernikahan saudara serta mendapatkan pengesahan status anak saudara. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.