BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamu’alaikum warahmatulla. Arwah abang meninggal dunia tahun lepas 13/03/2017 setelah beberapa minggu berselisih pendapat dengan Emak dan Arwah telah menukarkan PENAMA KWSP beliau kepada nama Adik Ipar Perempuan iaitu isteri kepada adik lelaki kami. Dan kononnya ada berWasiat mulut kepada adik lelaki kami meminta Duit KWSP beliau TIDAK diberikan kepada Emak dan adik-beradik yang lain. Bila Arwah meninggal dunia, Isteri adik lelaki kami telah mengeluarkan Simpanan KWSP Arwah yang berjumlah hampir rm 300,000,00. Adik lelaki kami MEMBERITAHU kepada Emak kami bahawa Emak kami TIDAK ADA HAK atas Duit KWSP Arwah kerana Arwah ada membuat Wasiat Mulut kepada beliau. Dan mengatakan bahawa dia seorang sahaja yang BERHAK keatas Duit KWSP Arwah. Kami tanyakan masalah ini kepada pihak KWSP tetapi pihak KWSP mengatakan tidak dapat berbuat apa-apa tentang masalah kami. Kami ada menbuat Bantahan tetapi telah terlambat kerana telah terlambat. Adik Ipar perempuan telah merahasiakan dirinya sebagai Penama KWSP selama ini. Nama Penama KWSP ini kami ketahui setelah Abang Sulung saya membawa Emak ke Pejabat KWSP untuk menuntut peninggalan Arwah. Saya telah bertanya kepada Biro Guaman tentang perkara ini dan mereka juga telah memberikan pendapat yang sama seperti KWSP. Saya ingin mengetahui Pendapat /Keputusan dalam Agama Islam. Adakah apa yang dilakukan oleh Adik Lelaki dan Isteri beliau BENAR mengikut Hukum dalam Agama Islam? Mohon Pihak Tuan sudi memberikan pendapat mengikut Hukum Agama Islam. Sekian, terima kasih dan Assalamu’alaikum warahmatullah.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, penama dalam caruman KWSP hanyalah sebagai pemegang amanah sahaja bagi memudahkan urusan, bukan pemberian. Kedudukan ibu dalam mewarisi harta tidak boleh dinafikan walaupun berlaku perselisihan faham. Tentang bahagian kepada adik-beradik arwah ia bergantung kepada keadaan, sama ada si mati mempunyai anak dan isteri atau tidak yang menafikan untuk mereka mendapatkan pusaka si mati. Kadar yang berhak bagi ibu simati adalah pada kadar 1/6 selepas selesai segala hutang dan tanggungan si mati sebagaimana firman Allah SWT: Maksudnya : “Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak”. (an-Nisa’ : 11) Bermakna, daripada duit KWSP berjumlah RM300,000 itu hendaklah ditolak terlebih dahulu hutang, zakat, fidyah, urusan jenazah dan pengkebumian si mati serta wasiat (jika ada) sebelum difaraidkan kepada waris yang layak. Berkenaan dengan wasiat pula, ia tidak boleh diambil melebihi 1/3 daripada harta si mati. Wasiat juga tidak boleh menafikan waris yang berhak menerima pusaka, lebih-lebih lagi ia mendakwa dilakukan secara lisan sahaja, tanpa bukti dan saksi. Wasiat hendaklah disaksikan oleh dua orang yang adil, sebagaimana firman Allah SWT : Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu” (al-Maidah : 106) Antara wasiat yang diharamkan oleh syarak ialah wasiat yang bertujuan menyusahkan waris-waris dan menghalang mereka daripada menerima bahagian yang ditetapkan oleh syarak. Allah SWT melarang wasiat yang bertujuan meyusahkan (memudharatkan) orang lain sebagaimana firmanNya: Maksudnya : “Wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.” (an-Nisa’ : 12) Justeru adalah dinasihatkan agar perkara ini dirujukkan ke Bahagian Faraid dan Wasiat serta Hibah, Majlis Agama Islam Negeri yang berhampiran untuk mendapatkan nasihat dan tindakan yang boleh dilakukan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 103

message user image