Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustazah, saya ade masalah kencing x lawas dan akan menitik atas lantai tandas lepas saya buang air kecil. Biasanya, saya akan alirkan air dahulu kat lantai tandas sebelum ambil wudu’ untuk solat. Tapi, ada satu hari, saya lupa saya dah alirkan air atau belum. kalau belum, saya risau saya pijak air kencing tu dan sebarkan atas karpet dan sejadah. Memang tak nampak dan tak dapat beza warna, bau dan rasa kat karpet@sejadah.Ape pendapat ustazah? Saya patut cuci karpet dan sejadah tu atau yakin je yang saya dah alirkan air kat lantai toilet?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, sesuatu keraguan terhadap perkara yang masih tidak pasti sama ada terpijak atau tidak pijak najis air kencing tersebut, sekiranya perkara tersebut pada peringkat syak, maka hendaklah diabaikan syak wasangka tersebut. Hal ini kerana perkara yang syak tidak memberi apa-apa kesan terhadap satu keyakinan. Antara kaedah feqh yang masyhur: اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ Maksudnya : “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan)”.Namun, jika tuan yakin yang tuan terpijak air kencing (nampak secara jelas) maka perlulah dibasuh kawasan yang terkena najis dengan hanya mengalirkan air padanya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.