Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanyakan mengenai hukum bekerja di pusat membeli belah ,sebagai pekerja yang bertanggungjawab untuk memeriksa kebersihan kedai kedai, termasuk kedai makan yang menyediakan makanan yang tidak halal seperti daging babi dan arak.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hukum bekerja sebagai pemeriksa tahap kualiti kebersihan kedai-kedai di dalam pusat membeli belah adalah harus selagi mana tidak terlibat secara langsung dengan proses penyediaan makanan yang tidak patuh syarak. Walaubagaimanapun, bagi pekerjaan yang ada kaitan dengan arak sama ada sedikit atau banyak maka dilarang kita terlibat, kerana terdapat hadith yang menyatakan sepuluh golongan yang mendapat laknat kerana berkaitan dengan arak. Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi dan Abu Tu’mah bahawa mereka mendengar Ibnu Umar mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda; لعنت الخمر على عشرة أوجه : بعينها وعاصرها ومعتصرها وبائعها ومبتاعها وحاملها والمحمولة إليه وآكل ثمنها وشاربها وساقيها Maksudnya : “Terlaknat arak pada sepuluh segi; ‘Ainnya, Orang yang memerasnya, Orang yang menyuruhnya, Orang yang menjualnya, Orang yang membelinya, Orang yang membawanya, Orang yang dibawakannya, Orang yang makan harganya, Orang yang meminumnya dan Orang yang memberi minum arak”. (Riwayat Ibnu Majah) Sehubungan itu, sekiranya skop tugasan melibatkan pemeriksaan tahap kualiti kebersihan kedai yang menjual arak maka sebaiknya hendaklah dielakkan dengan dimaklumkan kepada majikan secara berhikmah supaya terjamin keberkatan rezeki dalam pekerjaan yang diusahakan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.