BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya ada 2 soalan yang ingin bertanya berkenaan hukum nikah kahwin. Soalan yang pertama. Saya dan isteri telah bercerai. Semasa proses penceraian dan menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah syariah, saya telah memujuk bekas isteri untuk memberi saya peluang dan membatalkan penceraian. Saya melafazkan yang saya akan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami sebaiknya sekiranya dia bersetujuk untuk membatalkan penceraian dan memberi saya peluang. Dalam lafaz juga, untuk meyakinkan dia, saya telah menyatakan yang saya akan menceraikan dia dengan talak 3 selepas ini sekiranya peluang yang dia beri kali ini saya gagal juga untuk memikul tanggungjawab. Semasa tempoh iddah, saya cuba untuk merujuk kembali bekas isteri tetapi dia risau tentang lafaz talak 3 saya itu. Soalan saya, sekarang kami telah bercerai, dan sekiranya kami bernikah semula adakah lafaz tu masih sah atau terbatal kerana kami sudah bercerai ?Soalan kedua. Semasa tempoh iddah bekas isteri, saya beberapa kali memujuk dia untuk rujuk. Kerana dia tidak setuju saya tidak memaksa dia dan memberi dia masa. Pada 1 hari, kerana terlalu sayangkan dia dan anak. Saya telah menemui dia dan menyatakan hasrat saya untuk rujuk kembali. Berlaku pertingkaran antara kami, dan saya telah melafazkan " xxxx ( nama bekas isteri ) , saya rujuk awak menjadi isteri saya " dan dia membalas aku tidak terima.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan; 1. Untuk persoalan berkaitan lafaz cerai sepertimana yang tuan nyatakan di atas, bagi pandangan kami sekiranya mana-mana lafaz cerai itu ada mengandungi perkataan “akan” maka ianya bermaksud suami baru berhasrat untuk melafazkan cerai tersebut pada masa akan datang. Kalau sekiranya lafaz cerai dilafazkan dalam tempoh eddah, maka ianya boleh membawa kepada jatuh talaq dan sekiranya lafaz cerai itu dilafazkan setelah tamat tempoh iddah, maka ianya tidak menyebabkan jatuhnya talaq tersebut. 2. Berkaitan persoalan rujuk, sekiranya suami melafazkan rujuk kepada isterinya dengan lafaz yang jelas, maka sah rujuknya walaupun isteri tidak bersetuju. Walaubagaimana pihak kami mencadangkan agar pihak tuan merujuk ke mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah berhampiran dengan kadar segera bagi melaporkan lafaz rujuk tersebut. Ini kerana pengesahan rujuk adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Agama Islam Daerah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 210

message user image