BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: saya seorang tukang jahit. saya ada ambil tempahan dari seorang perempuan benggali yg meminta saya menjahit beberapa helai kain putih dan beberapa helai kain alas yg mereka gunakan dalam upacara sembahyang mereka. Apa hukum wang upah menjahit yang saya ambil dari mereka itu....


message user image

Jawapan  

Sebagai seorang tukang jahit muslim, berhak ke atas dirinya untuk menentukan pelanggan yang akan diterima. Ini kerana ia merupakan sumber rezeki yang akan digunakan dalam kehidupan seharian. Berhubung dengan situasi ini, majoriti ulama dalam Mazhab Maliki dan Syafie menyatakan haram hukumnya orang Islam terlibat secara langsung dalam aktiviti non-muslim seperti pembinaan gereja, penternakan babi, kilang arak dan hal-hal yang berkaitan dengannya dan upah yang diambil hasil daripada jahitan tersebut hukumnya juga adalah haram. Ia selaras dengan firman Allah SWT: وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.(Surah al-Ma’idah: 2) Justeri itu, sebagai seorang muslim hendaklah memelihara dirinya daripada terjebak dalam perkara-perkara yang boleh menyebabkan timbulnya salah faham terhadap dirinya sendiri: اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan”. Sehubungan itu, sebarang perkara yang boleh mendatangkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ianya akan memberi kesan yang buruk samaada untuk jangka masa pendek mahupun panjang. Daripada Nu’man bin Basyir RA, sabda Nabi SAW: إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal dan haram itu jelas, manakala antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubhah, yang tidak jelas hukumnya”. Sunan Abi Daud (3329) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2020
Jumlah Pelawat : 156

message user image