Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ada kemusykilan berhubung hukum bekerja sebagai ejen hartanah. Sekiranya ada pembeli yang memilih untuk berurus niaga melalui pinjaman riba, adakah ejen hartanah juga berdosa kerana menjadi pemudah cara (facilitate) walaupun tidak terlibat secara langsung dengan keputusan pembeli untuk memilih pinjaman konvensional
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, berkaitan keterlibatan tuan sebagai pemudah cara kepada pelanggan yang mahukan perbankan konvensional. Perkara penting untuk tuan laksanakan adalah: i. Tidak terlibat membantu/mengurus pinjaman di konvensional. ii. Menerangkan atau mempromosikan terlebih dahulu Perbankan Islam yang diketahui adalah patuh syariah. iii. Memastikan tuan tidak mendapat apa-apa komisyen atau keuntungan dari pelanggan yang berhasil mendapatkan perkhidmatan bank konvensional. Kesimpulannya, jika tuan telah melaksanakan perkara i , ii dan iii tiadalah lah dosa bagi tuan kerana untuk menggunakan perbankan konvensional adalah pilihan pelanggan sendiri. Namun, jika tuan masih ragu-ragu adalah lebih terbaik ditinggalkan sebagaimana Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan….. “(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.