Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam Ustaz, saya nak tnya apa hukum kalau bekerja sebagai consultant IT bagi syarikat arak? Syarikat saya bekerja telah mendapat contract daripada satu syarikat arak terkemuka dan saya terpilih untuk menjadi consultant bagi syarikat tersebut. Syarikat arak tersebut akan membayar kepada company saya atas khidmat yang diberikan dan duit tersebut akan digunakan untuk membayar gaji saya. Harap ustaz boleh bagi pencerahan. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, orang yang bekerja di sektor yang menyokong sistem yang memang jelas digunakan untuk operasi kilang arak, hukumnya adalah haram, dan tetap tidak dibenarkan kerana dalam kaedah Islam ada disebutkan “Membantu perbuatan dosa adalah berdosa”. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Ma'idah ayat 2;
Maksudnya : ...dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
Begitu juga, hadis yang diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi dan Abu Tu’mah bahawa mereka mendengar Ibnu Umar mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
Maksudnya : Terlaknat arak pada sepuluh segi; ‘Ainnya, Orang yang memerasnya, Orang yang menyuruhnya, Orang yang menjualnya, Orang yang membelinya, Orang yang membawanya, Orang yang dibawakannya, Orang yang makan harganya, Orang yang meminumnya dan Orang yang memberi minum arak. (Riwayat Ibnu Majah)
Bagi syarikat IT yang ada membuat urusniaga dengan kilang arak, jika pemilik syarikat IT adalah muslim, maka hendaklah ditolak urusniaga tersebut. Namun, jika syarikat IT milik bukan muslim, maka adalah wajar kerja-kerja yang berkaitan dengan urusan arak diserahkan kepada pekerja yang bukan muslim.
Sekian, terima kasih.