Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Saya ada pertanyaan mengenai najis kucing. Ketika saya berjalan di beranda, saya terpijak cecair yg disangkakan air hujan atau air dari atap yg bocor jadi saya tak membasuh kaki ketika itu. Rupa2nya salah seorang dalam rumah menyatakan bahawa cecair itu adalah kencing kucing. Adakah saya perlu mengemop satu rumah. Jika ya, adakah saya perlu menghilangkan najis aini pada setiap lantai rumah kerana lembapan pada tile yg menyebabkan najis itu tidak akan kering walaupun telah memasang kipas dan sebagainya ataupun boleh saya mop begitu sahaja ?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, perlu dibersihkan kawasan yang telah dipijak oleh anda sahaja (dengan yakin) dengan air mutlak. Sekiranya terdapat ain najis tersebut, maka perlu dibersihkan terlebih dahulu ain najis tersebut selepas itu dibasuh dengan air sehingga hilang bau, rasa dan warnanya. Menyucikan najis tersebut tidak boleh sekadar dengan menggunakan mop sahaja, ia perlu kepada dialirkan air di tempat yang bernajis setelah bersih barulah boleh dimop bagi mengeringkan tempat yang telah dibasuh. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.