Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, saya ada satu persoalaan. Saya ada mencuri duit pada waktu dulu-dulu untuk beli komik. Sekarang ini, Saya sangat-sangat menyesal atas perbuatan saya dan sudah bertaubat. Saya juga berniat untuk memulangkan duit yang saya telah curi tersebut kepada tuannya tetapi tidak berkesempatan untuk dipulangkan lagi. Persoalannya, adakah solat dan amal ibadat saya diterima atau tidak, selagi mana saya tidak memulangkan duit yang telah dicuri walaupun sudah menyesal yang teramat dan sudah bertaubat? ( Saya ada dengar ceramah, kalau orang yang mencuri atau orang yang memakan harta yang haram amal ibadat mereka tidak akan diterima). Saya berasa amat gelisah tentang sama ada amal ibadat saya diterima oleh Allah SWT atau tidak disebabkan saya belum berpeluang untuk membayar balik apa yang saya curi kepada tuannya walaupun sudah menyesal dan bertaubat.( Saya sudah memesej tuan duit yang saya curi tersebut tetapi dia tidak membalas lagi). Mohon penjelasan. Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hukum bagi kanak-kanak yang belum sampai umur baligh, sekiranya dia pernah mencuri ketika zaman kanak-kanaknya adalah tidak berdosa. Hadith Nabi SAW yang bermaksud : "Diangkat kalam (tidak berdosa) daripada 3 orang ; orang gila sehingga dia sedar, orang yang tidur sehingga dia bangun dan kanak-kanak sehingga dia baligh”.(Riwayat Abu Daud) Bagaimanapun saudara wajib untuk memulangkan semula duit yang dicuri pada satu ketika dahulu kepada tuannya yang berhak. Perbuatan saudara semasa kanak-kanak tidaklah mengikat dengan amal ibadat saudara sesudah baligh. Perbanyakkan istighfar dan berdoa kepada Allah SWT agar segala amal ibadat yang dilakukan selama ini diterima dan diredhai sebagai amalan soleh. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.