Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan:Assalam tuan/puan Situasi..Seorang isteri telah terlanjur bersama lelaki lain sehingga melahirkan 3 org anak.Sejak menjalinkan hubungan bersama lelaki lain isteri Sudah tidak bersekedudukan dgn suami pertama.Setelah anak ketiga lahir baru bercerai secara sah di mhkamah. Saya ingin bertanya kan dua soalan: 1: Apakah hukum 3 orang anak luar nikah itu dibin dan dibinti menggunakan nama suami yang pertama? (bukan ayah mereka) Situasi 2 Beberapa tahun kemudian Bekas suami pertama sudah meninggal..2. Apakah hukum jika menipu orang mengatakan anak itu anak yatim walaupon sebenarnya bapa kandung nya hidup lagi ? Harap dapat penjelasan tepat.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, berzina adalah satu perbuatan keji dan berdosa besar. Setiap orang yang berdosa hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT. Merujuk persolan puan, perbuatan zina tersebut hanya diketahui oleh si isteri dan lelaki yang berzina dengannya. Si isteri hendaklah bertaubat dan mengakui bahawa anak tersebut adalah anak zina. Manakala suami jika mempercayai dengan yakin bahawa anak tersebut bukan anaknya maka beliau boleh membuat sumpah li’an. Firman Allah dalam surah An-Nur ayat 6-9;وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ وَيَدْرَأُ عَنْهَا الْعَذَابَ أَن تَشْهَدَ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الْكَاذِبِينَ وَالْخَامِسَةَ أَنَّ غَضَبَ اللَّهِ عَلَيْهَا إِن كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ Maksudnya : “Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu adalah empat kali bersumpah dengan Nama Allah, sesungguhnya ia termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima, bahwa laknat Allah atasnya, jika ia termasuk orang-orang yang berdusta. Isterinya itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas Nama Allah se-sungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta, dan (sumpah) yang kelima bahwa laknat Allah atas-nya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.”Anak zina adalah anak tak sah taraf dan tidak boleh dinasabkan kepada suami kepada isteri tersebut juga tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang berzina dengannya. Soalan kedua tidak berkaitan selagi mana isu nasab anak tersebut tidak diselesaikan terlebih dahulu. Namun, menipu itu adalah satu perbuatan dosa dan ia merupakan salah satu ciri orang munafik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.