Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum kepada semua staff Jabatan Mufti Selangor dan kepada Tuan Mufti, saya ingin bertanyakan soalan mengenai penggunaan kad kredit dari bank conventional. saya ada membaca soal jawab yang telah dikeluarkan oleh Dr Zaharudin. dan saya agak keliru tentang penggunaan secara am kad kredit dari bank konventional. ada dinyatakan adalah haram jika terlibat dalam hal2 riba, seperti pinjaman tunai yang dikenakan komisyen yang tinggi serta tidak mempunyai akad yang sah. dan beberapa perkara lain seperti denda yang mengikut kadar tidak berpadanan jika pengguna terlewat bayar. akan tetapi setakat ini, saya menggunakan kad kredit berdasarkan kapasiti perbelanjaan bulanan dan tidak akan lebih daripada apa yang saya tidak mampu bayar. tiada kelewatan dan tiada pinjaman tunai dari kad kredit tersebut. saya menggunakan kad tersebut kerana kelebihan 'cashback' yang tinggi dan ini memberi saya sedikit ruang dalam perbelanjaan bulanan. soalan saya 1. adakah pengunaan kad kredit konvensional adalah haram secara am nya walaupon pengguna tidak terlibat dalam perkara-perkara yang haram seperti pinjaman dengan kadar tinggi dan mempunyai unsur riba, sentiasa patuh dengan pembayaran penuh pengunaan tanpa kelewatan. 2. Hukum menyertai peraduan spin and win untuk bayaran melebihi rm100. sebagai contoh saya berbelanja barangan rumah yang melebihi RM100 dan layak untuk bermain spin and win, dan menang cashback (RM5, RM50, RM100) atau tidak menang apa2 dan permainan ini tidak mendatangkan kerugian pada saya kerana saya berbelanja perkara-perkara yang sepatutnya. adakah perkara ini haram atau dikategorikan sebagai judi?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan ; 1. Penggunaan kad kredit konvensional walaupun penggunaannya tidak melibatkan perkara-perkara yang haram dan pembayaran sentiasa dibayar pada masanya tetapi terlibat dengan perbankan konvensional dianggap sebagai menyokong produk-produk mereka. Pada masa yang sama negara kita mempunyai perbankan Islam yang patuh syariah dan diiktiraf. Oleh yang demikian kita mempunyai pilihan dan alternatif lain yang lebih baik dan halal melalui perbankan yang patuh syarak. 2. Penyertaan kepada peraduan spin and win seperti mana yang dinyatakan, pada dasarnya adalah dibolehkan dan harus hukumnya kerana peserta tidak mengalami sebarang kerugian sama ada menyertai peraduan ini ataupun tidak. Bagaimanapun peraduan ini masih mempunyai syarat iaitu pembelian perlu melebihi jumlah RM100 sekiranya ingin menyertai peraduan tersebut. Adalah lebih baik sekiranya tuan dapat elakkan diri daripada menyertainya kerana ada unsur judi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.